Rumah ku

Rumah ku
Bandar Putra

Monday, May 2, 2011

Hikayat Rumah Usang 4

Pagi dingin menusuk tulang... berkabus tebal.. membataskan pandangan beberapa meter dihadapan... Ayam berkokok dituruti bunyi beduk dipalu... diikuti azan bergema membelah kesepian pagi. Atuk-nenek, ibu-bapa, kakak-abang dan seisi rumah terjaga begegas menyucikan diri dari hadas kecil dan besar jika berhajat dimalam hari. Masing-masing melangkah ke kain sejadah dimana saja dirasakan selesa.... ada dirumah dan ada yang bejumaah di mursala, dengan tujuan satu untuk berbicara seketika dengan Allah memohon ampun, reda dan keberkatan dalam hidup. Biar lah miskin harta tetapi mulia disisi Allah dan sentiasa dalam keberkatannya. Keberkatan akan mencukupkan yang kurang... akan melebihkan yang cukup... melimpahkan yang lebih... Tanpa keberkatan.. Yang Lebih terasa kurang.. Yang kurang terasa macam tiada...

Ibu berpagian bangun menjerang air didapur kayu.. Masa itu.. tiada dapur gas seperti sekarang.. jauh lagi cerek elektrik... Kedinginan pagi menyukarkan ibu menyalakan api... tapi sesungguhnya kesabaran mengatasi kesukaran. Ibunya, tukang masak yang kreatif... mengatur menu sarapan pagi untuk ayah dan dia serta adik beradik. Tak lah sesukar sekarang.. untuk memilih menu sarapan pagi.. Ketika itu.. tiada nurget.. tiada roti gardania.. tiada fast food yang lain... Pilihannya terhad pada apa yang ada... Kalau ada pisang.. maka jadi lah jejemput (cucor) pisang atau pisang goreng.. jika ada betik.. jadilah cucor betik... jika ada labu maka akan ada lah cucur atau bengkang labu... Jika ada lebihan nasi malam semalam.. amat mewah dijadikan sarapan nasi goreng. Ibarat kata, apa yang ada, semuanya menjadi menu sarapan pagi sekadar memenuhkan perut yang kosong. Tiada pilihan dan tak terlintas pun untuk memilih seperti anak kita sekarang.

Selesai solat subuh, Ayah bersiap dengan seragam kerjanya... perlu segera ke pekebunan untuk melunaskan kerja tertangguh yang tidak pernah berkesudahan. Sarapan tenaga ayah amat berbeza.. malah mungkin tidak pernah tergambar kini... Kalau di hotel, kita selalu disediakan dengan telur separuh masak yang berperisakan kicap.. ladah sulah dan sebagainya... sebagai pemula sarapan... Tapi bagi ayah tiada erti pemula sarapan.. Hanya berbekalkan sebiji telur ayam kampung direndam dalam air panas mendidih... kemudian secawan kopi pekat dan pahit... menjadi sarapan saban pagi. Ini lah sarapan tenaga.. Telur suku masak dipecah ke dalam secawan besar kopi... dikacau ibarat mengacau susu dalam kopi... Dengan sekali tegukan sudah cukup memberi tenaga sepanjang pagi ke tengah hari.

Di ketika itu anak-anak masih diperaduan beralaskan tikar mengkuang bagi mengelak agin dingin masuk dari celahan lantai dan berselimutkan kain tipis. Posis badan bengkok ibarat udang selepas dipangang, menahan sejuk hingga ke tulang... Lenanya penuh dengan mimpi indah dan pengharapan baru diesok hari. Pagi, selepas sarapan... kakak dan abg sudah mula melangkah dalam kegelapan kabus pagi untuk kesekolah. Sedingin mana pun, perlu mandi sebelum kesekolah. Abg dan kakak terpaksa mandi di paip awam yang dikongsi bersama ahli keluarga dari 4 buah rumah berhampiran. Tempat madi dilingkungi dengan daun pisang kering yang di apit buluh untuk megelak dari intaian mata keranjang. Gosok gigi?... pasti... tapi tiada berus dan ubat gigi... Habis bagai mana???... Cara tradisi digunakan.. Jari menggantikan berus gigi dan arang ditumbuk halus mengantikan ubat gigi. Caranya.. basahkan jari dan cecahkan keserbuk arang dan gosokkan kepada gigi... Mudah kan!!. Itulah perkabaran dulu... Mungkin kerana amalan ini antara sebab kenapa orang2 dahulu punyai gigi yang teguh dan sihat... Tiada masalah sakit gigi dan gusi seperti sekarang.

Dia.. masih belengkor diperaduan.. tiada apa perlu difikirkan.. Diusia 6 tahun, tak perlu ke sekolah.. tiada TADIKA, TASKA atau PASTI, hanya di rumah menemani adik kembar yang baru berusia 2 tahun. Suara ibu sayup terdengar melaung dari dapur.. mengejut dia dari lena. Tapi terasa malas membuat dia membatu disitu...

Seusai kerja didapur, ibu berehat seketika sambil menikmati sarapan pagi ala kadar untuk menambah tenaga. Banyak kerja perlu diselesaikan sebelum menyediakan menu makan tengah hari. Yang pastinya, tiada erti rehat selagi mata masih celik... Kerehatan hanya dikecapi bila ibu melelapkan mata seketikan di waktu dini hari dan pertengahan malam.

Dalam kesejukan pagi, ibu sudah bersedia memulakan tugas pertama membasuh pakaian keluarga di paip awam. Kalau lambat.. alamatnya terpaksa menunggu hingga jiran tetangga selesai membasuh. Pun begitu.. hidup kejiranan di kampung saling membantu. Ada kalanya sama2 berkongsi masa dan tempat pembasuhan sambil bercerita perihal anak-anak dan keluarga. Selesai membasuh... tidak bermakna telah selesai lah tugas untuk hari itu. Ada lagi masa terluang yang perlu diisi dengan kerja yang bermanfaat membantu keluarga.. sebelum tengah hari menjelang untuk tugas besar menyediakan sarapan.

Dia.... bangun sarapan dengan hanya berkumur dan membasuh muka.. dingin terasa... jadinya tak perlu tergesa untuk mandi bersiram. Selepas sarapan dia akan kehalaman rumah meninjau setiap inci tanah.. bermain dengan rakan sebaya sambil menjenguk ibu yang sedang berkerja.. mencangkul, merumput dan sebagainya.

Tanah seluas suku ekar dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita berusaha Allah yang memberi rezeki. Berkat usaha ibu... sekeliling rumah dipenuhi dengan pokok tanaman dan sayuran. Ubi.. pelbagai jenis: ubi sagu.. ubi kuning.. ubi pulut.. ubi keledek.. hidup subur di atas jaluran batas membentuk sempadan antara rumah dia dan jiran.. Batas ubi diselang seli dengan pepohon betik yang subur.. berbagai bentuk dan warna buahnya. Di belang rumah dibariskan dengan peredu pisang awak.. abu.. embun.. bunga.. raja... helang atau tanduk.. lemak manis.. emas.. apa saja... Disekeliling dan belakang rumah juga ditanam dengan pelbagai jenis tebu: tebu morris.. tebu hitam.. tebu cina.. tebu kuning.. tebu betong.. tebu merah.. tebu patah.. tebu bunga... apa saja.. ada bersaiz kecil dan ada bersaiz besar. Itu lah baiknya jika berbudi pada tanah. Apa saja yang dicucuk denga dimulakan kalimah bismillah dan redha kerana Allah, pasti akan dilimpahkan denga rezeki hasi yang lumayan. Disamping tanaman kontan, ibu juga tidak lupa menanam pohon buahan seperti rambutan, nangka, cempedak, mangga, kelapa...

Kegigihan ibu.. merubah penorama tanah berlalang kepada kebun untuk menampung keperluan keluarga. Tak kira apa saja jenis tanaman, yang penting dapat mengelak dari kelaparan. Ada sesuatu untuk dikudapkan diwaktu pagi dan petang.

Dia masih teringat bagaimana sekeliling rumahnya malahan rumah2 jiran sebelahannya dirimbuni oleh pepohon tebu yang berjajaran diatas batas.. begitu banyak hingga tak tergigit oleh gigi.. Dengan maufakat jiran tetangga, mereka membina mesin pemerah tebu atau dikenali mesin apit tebu.. Membina?.. yee.. mesen dibina dengan idea dan kudrat jiran tetangga. Tidak seperti mesen pemerah tebu sekarang yang dijalankan menggunakan elektrik.. Mesen apit tebu diperbuat dari rangkuman binaan batang kayu hutan yang membentuk pergerakan kayu pengapit.. alangkah moleh jika ada gambar kelasiknya.. Mesin ini perlu digerakkan secara gotong royong.. kerana perlu dikendalikan oleh sekurang2nya 3 org . Dua orang mengerakkan batang pengapit dan seorg memasukkan batang2 tebu dialur kapitan. Jumlah batang tebu yang diperah perlu banyak.. Ibu dan ayah akan menebag tebu sehari sebelum dan dia membantu mengupas tebu untuk diapit esoknya bersama kakak dan abang.

Air tebu dimasak dijadikan manisan selalunya digunakan sebagai gula untuk membuat kueh dan juga dimakan bersama ubi rebus.. Kerak dari kuali memejal dijadikan coklat untuk kudapan anak-anak. Anak2 dulu tidak mengenal coklat hudson atau apa saja jenama yang ada sekarang.. Tetapi mereka cukup gembira dengan coklat bikinan sendiri dari sisa kacauan manisan tebu.

Nostalgia ini menjadi kenangan manis yang tak mungkin menjelma masa kini.. seringkali ianya menjadi kenangan yang berkembang dalam diri dan perasaan dia dan mereka sezaman denganya yang berada jauh dari hiruk pikuk kemodernan kota. Bagi dia, kota tu asing ibarat belantara batu.... Itu lah kehidupan...